Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Pengarah syarikat swasta dan bekas ketua pegawai pemasaran di syarikat telekomunikasi direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman sehingga 21 November itu dikeluarkan Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan berkenaan.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 42 dan 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM jam 9 malam tadi ketika hadir untuk memberikan keterangan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

"Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan (content provider) dengan mengenakan bayaran langganan menerusi SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna," katanya.

Sumber berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sehingga kini, SPRM sudah menahan 16 individu bagi membantu siasatan termasuk tiga pengarah syarikat yang dua daripadanya bergelar 'Datuk' kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telco untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan berkenaan.

Berita berkaitan

Penipuan SMS: Seorang lagi bekas pegawai syarikat telekomunikasi direman

Penipuan SMS: 6 disambung reman [METROTV]

Penipuan SMS: Enam lagi direman [METROTV]

Penipuan SMS: 2 lagi direman

Pegawai syarikat Telco pula direman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 2:08 PM